PETALING JAYA | Polis kini mengesan individu terlibat dalam pergaduhan di tempat meletak kenderaan di Setapak di sini.
Lapor Utusan, ini susulan satu video yang tular dalam media sosial berkaitan satu kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu lelaki di lokasi kejadian.
Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 7.00 pagi, kelmarin.
Katanya, lapan lelaki melibatkan enam suspek dan dua mangsa terlibat dalam kejadian ini.
“Enam suspek dipercayai bersenjatakan padlock, topi keledar dan pisau telah memukul dua lelaki.
“Kes masih di dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pihaknya masih berusaha untuk mengesan suspek yang masih bebas.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Emilia Jamil (016-2479017) atau Pegawai Penyiasat Kanan, ASP S. Gopal (012-5120242).
“Atau menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya.
Semalam tular satu video dipercayai dirakam penduduk di sebuah flat menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh melibatkan senjata.