KOTA BHARU | Kelantan mengenal pasti 534 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri bagi menghadapi musim banjir yang dijangka hujung tahun ini
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan diadakan sebelum tibanya musim tengkujuh.
“Pada masa yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengambil langkah siap siaga dengan menyediakan kenderaan dan peralatan ketika banjir. Dari segi logistik, JPS negeri mempunyai 44 kenderaan pacuan empat roda, sembilan lori, dua jentera berat, 13 bot, pam bergerak dan 53 jaket keselamatan.
“Selain itu, JPS juga melaksanakan beberapa projek untuk mencegah banjir dengan membaik pulih runtuhan tebing di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas; Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1, kerja pengorekan dan pembersihan sungai serta anak sungai, menaik taraf sistem saliran terusan Semerak dan Sungai Kemasin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Amran Ariffin (BN- Paloh) di Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mumtaz berkata, kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) patuh syariah pengurusan mangsa di PPS bagi menghadapi bencana banjir ketika pandemik Covid-19.
Katanya, mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS akan menjalani ujian saringan dan dipantau di bilik isolasi dalam tempoh 24 jam hingga 36 jam selepas disahkan negatif.