PUTRAJAYA | Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerbitkan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor (IP) Serentak dan Susulan bagi Jun 2021.
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan Kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Jun lalu, IP mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus (%) kepada 105.6 mata daripada 105.1 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain yang didorong oleh import logam berasaskan tembaga.
“Walau bagaimanapun, IP menurun 2.8 peratus bulan ke bulan, dicerminkan oleh penurunan dalam semua komponen IP terutamanya oleh
Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (-0.9%),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, melihat kepada hala tuju yang digambarkan oleh penurunan kadar pertumbuhan IP terlicin walaupun kekal di atas trend dan menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia jangka pendek terus menghadapi cabaran.
Katanya, ini sejajar dengan ramalan oleh agensi antarabangsa dan nasional yang menjangkakan prospek ekonomi yang perlahan bagi Malaysia pada 2021.
“Walau bagaimanapun, kesan positif daripada pelbagai inisiatif kerajaan untuk menyokong kelangsungan perniagaan, seiring dengan kemajuan dalam kadar vaksinasi COvID-19 dapat merangsang keyakinan perniagaan dan seterusnya menyokong pemulihan ekonomi.
“Bagi Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum pertumbuhan tahunan yang positif bagi tiga bulan yang lalu manakala mencatatkan negatif 3.0 % pada Jun 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Prestasi IS yang mencerminkan aktiviti ekonomi semasa terus menurun kepada negatif 6.3 % bulan ke bulan berbanding penurunan sebanyak 1.3 % yang direkodkan pada bulan sebelumnya, disebabkan penurunan ketara dalam Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (-4.56%),” katanya.
Dalam perkembangan lain, untuk bancian penduduk dan perumahan, pihaknya sedang melaksanakannya secara atas talian.
“Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketirnggalan kerana data anda masa depan kita.
“Sila layari portal Banc Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk makiumat lanjut,” katanya.