KOTA BHARU | Masyarakat Orang Asli yang terjejas dengan projek pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang akan diberikan pampasan, peluang pekerjaan dan perniagaan.
Pengerusi Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor berkata, kerajaan negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mengadakan satu sesi libat urus yang dipengerusi oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dengan beberapa jabatan-jabatan kerajaan.
“Daripada sesi libat urus dipersetujui beberapa perkara, pertama menyediakan pampasan yang adil berdasarkan impak dihadapi terutama mereka yang terkesan secara langsung dan kampung yang akan tenggelam disebabkan pembinaan empangan ini.
“Kita memberi pampasan sewajarnya kepada Orang Asli yang mana tanaman mereka tenggelam tetapi kampung mereka tidak tenggelam.
“Yang ketiga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada Orang Asli semasa fasa pembinaan projek dan operasi stesen jana elektrik. Semua pihak dirujuk dalam pakej pampasan ini dan ia diangkat kepada kerajaan negeri untuk kelulusan,” katanya.
Azami (PAS-Kadok) berkata demikian ketika menjawab soalan Ab Aziz Yusoff (BN- Nenggiri) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam jawapan tambah memaklumkan kerajaan negeri akan menandatangani perjanjian kerjasama dengan TNB hari ini.
“Insya-Allah kerajaan akan buat tandatangan antara kerajaan negeri dan TNB hari ini, maka barulah ia (projek) akan bermula,” katanya.