KUALA LUMPUR | Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang berupaya menjadi pemangkin untuk memacu keyakinan pelabur ke arah pemulihan ekonomi.
Lapor Berita Harian, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, menyifatkan perdamaian sedemikian sebagai perkembangan positif untuk merintis sebuah pentadbiran yang stabil, sejajar tema Keluarga Malaysia.
Katanya, kesan daripada percaturan itu kemudian akan diterjemahkan kepada bentuk motivasi pembuatan dasar kerajaan yang sesuai dengan keperluan semasa.
“Ini seterusnya akan meningkatkan keyakinan pelabur ke arah pemulihan ekonomi yang menguntungkan rakyat.”Ini bukti awal kemampuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan suatu bentuk persefahaman daripada pihak pembangkang.
“Pada masa sama, pujian juga harus diberikan kepada pemimpin pembangkang yang menjunjung titah Seri Paduka supaya semua pihak bekerjasama demi kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya, yang berlangsung lebih sejam.
Pertemuan sulung dengan pemimpin pembangkang selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu itu antara lain tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19.
Shahril berkata kenyataan bersama yang ditandatangani antara pembangkang dan kerajaan menunjukkan semua pihak, terutama Perdana Menteri memahami pentingnya negara untuk tidak terus dibelenggu kemelut politik.
“Ini amat penting tatkala negara masih mengharungi kesan pandemik dan pelbagai cabaran ekonomi yang masih membelenggu kadar pertumbuhan Malaysia,” katanya.