KOTA BHARU | Stesen kuarantin (QS) bagi menempatkan keluarga Orang Asli yang positif Covid-19 akan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, dekat Gua Musang bermula esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, QS itu mampu memuatkan seramai 300 pesakit yang positif dan tumpuan akan diberikan kepada keluarga Orang Asli suku Temiar di kawasan berkenaan.
“Pusat QS itu dibuka bagi memastikan Covid-19 tidak menular dan merebak ke kawasan lain di Gua Musang memandangkan jangkitan wabak itu dalam kalangan Orang Asli semakin membimbangkan.
“Ini kerana pada masa ini, ada enam kampung yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar dewan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mohd Syahbuddin berkata, berdasarkan kepada kes sebelum ini, walaupun kampung mereka dilaksanakan PKPD, namun pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) agak longgar, kerana tiada penguatkuasaan di lokasi itu.