KLANG | Sebanyak 200 beg mayat bernilai RM15,200 diserahkan kepada Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini menerusi sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini.
Lapor Utusan, YIDE dalam kenyataan berkata, pihaknya menyedari keperluan mendesak beg mayat untuk digunakan bagi menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
“Inisiatif diambil atas kecaknaan pihak YIDE terhadap situasi semasa rentetan kes kematian dilaporkan akibat pandemik Covid-19 masih banyak khususnya di Selangor yang mencatatkan kes tertinggi saban hari,” katanya di sini hari ini.
Penyerahan beg mayat tersebut dilakukan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Prof. Azreen Syazril Adnan kepada wakil Jabatan Forensik HTAR, Dr. Nur Ayutimasery Abdullah.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, YIDE turut menyerahkan 4,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM138,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk digunakan oleh petugas-petugas pengebumian jenazah Covid -19.
“YIDE mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang korporat, orang awam, syarikat swasta serta syarikat milik kerajaan (GLC) yang telah membantu menghulurkan sumbangan bagi memastikan sumbangan kepada golongan sasar dapat disampaikan.
“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus ke platform digital YIDE https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau terus pindahan dalam talian melalui akaun Bank Islam YIDE bernombor 12234010007330,” ujarnya.
Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui resit rasmi YIDE