By Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan kesemua barisan Kabinet yang dilantik hari ini akan mengangkat sumpah di Istana Negara, pada Isnin ini.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan baginda yang akan diadakan pada jam 2.30 petang.
Katanya, barisan Kabinet yang diumumkan beliau sudah mendapat dapat perkenan Al-Sultan Abdullah.
“Ogos yang bermakna ini, marilah kita bangkit bersama untuk kembalikan semula sinar kegemilangan Malaysia di mata dunia.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri.
“Pesan saya hanya satu, jalankan tugas yang telah diberikan dengan amanah, demi rakyat dan negara. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ketua-ketua parti yang telah memberikan pandangan, sokongan, dan kerjasama dalam pembentukan barisan Kabinet ini,” katanya dalam ucapan pembentuka Kabinet secara langsung hari ini.
Beliau berkata, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda, yang akan diadakan pada Isnin, 30 Ogos 2021, jam 2.30 petang, di Istana Negara, Kuala Lumpur.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada barisan Kabinet untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.
“Ayuh membulat tekad, bekerja bersama rakyat,” katanya.