KUALA LUMPUR | Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai Menteri Kominikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu komited
untuk merangka hala tuju kementeriannya itu.
Annuar berkata, ianya supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara agar seluruh Keluarga Malaysia memperolehi manfaatnya.
“Menyedari bahawa KKMM mempunyai peranan yang sangat penting, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi, keperluan pemerkasaan sektor digital di samping pembelaan kehidupan rakyat.
“InsyaAllah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga berharap komitmen merangka hala tuju KKMM sebagaimana dihasratnya selepas diumumkan sebagai menteri itu akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.
Beliau juga turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan melantiknya menerajui KKMM dalam kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Kesembilan.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang memilih saya menganggotai kabinet beliau.
“Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar buat diri saya, rakyat di Parlimen Ketereh dan juga kepada UMNO dan Barisan Nasional yang saya wakili,” katanya.
Beliau juga mendoakan semoga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan dan dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Perdana Menteri Kesembilan.