Anggota Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said mengucapkan tahniah kepada barisan ahli jemaah menteri yang baru bawah kepimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Azalina dalam satu kenyataan berkata dia juga menyambut baik komitmen Ismail Sabri dan pihak pembangkang dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia.
Katanya, dalam perkara itu, dia juga berbesar hati untuk memberi sumbangan dan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif pembaharuan yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan mengikut kebijaksanaan kolektif.
“Saya berharap, prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen akan terus menjadi ‘obor’ dan panduan kepada pihak kerajaan dan semua ahli-ahli Parlimen, tidak kira sama ada dari blok kerajaan, pembangkang atau Bebas.
“Saya selaku ahli Parlimen Pengerang akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat Parlimen Pengerang dan akan terus membawa suara rakyat di dalam Dewan Rakyat.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah sekali lagi kepada rakan-rakan seperjuangan saya yang telah dilantik untuk membentuk kerajaan yang baru ini.
“Saya doakan agar negara kita kembali pulih dan keluar dari belenggu wabak pandemik serta agar nasib semua rakyat yang terkesan dari Covid-19 ini terus terbela dan diberikan perhatian khusus,” kata Azalina.
Dia sebelum ini disebut-sebut akan dilantik ke dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob selepas mengosongkan kerusi timbalan speaker Dewan Rakyat.
Malah, pemimpin pembangkang juga merasakan dia patut dilantik sebagai menteri, sama ada menteri dalam negeri, menteri undang-undang atau menteri wanita, keluarga dan masyarakat.
Pada 25 Ogos lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan bersama pemimpin Pakatan Harapan memberi jaminan akan mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19 dan ekonomi negara.
Selain agenda kepentingan rakyat, pertemuan itu juga mencari persetujuan bersama bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia.
Mereka bersetuju bahawa parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat. SUMBER; MALAYSIAKINI