PUTRAJAYA | Pemilihan semula muka lama daripada pentadbiran sebelum ini dalam Jemaah Menteri mencerminkan kehendak Perdana Menteri untuk melihat kesinambungan segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini.
Lapor Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia membabitkan tiga keutamaan iaitu memerangi pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.
Beliau yang berterima kasih kerana masih dipilih berada dalam Kabinet pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak kira muka lama atau baharu, apa yang jelas mereka yang terpilih mengetuai kementerian tidak mempunyai masa kerana diberikan tempoh 100 hari untuk menunjukkan hasil.
“Perdana Menteri sememangnya serius apabila beliau mengatakan barisan Kabinet baharu ini berfungsi sebagai pasukan pengurusannya untuk bekerja dengan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, beliau mengambil serius pelantikan semula dirinya dalam Kabinet dan berharap ia akan memberikan peluang kepadanya membawa pembaharuan kepada Parlimen serta struktur perundangan dalam kerajaan.
Katanya, ia bagi memastikan kerajaan terus relevan dalam landskap politik masa kini.
“Berikutan itu saya juga akan menjadikan keutamaan untuk memastikan hak penduduk Sabah dan Sarawak terjamin seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.