KUALA LUMPUR | Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berpendapat, kabinet baharu yang dibentuk mampu membina peningkatan momentom yang lebih baik dari sudut perancangan, pentadbiran dan pengurusan.
Lapor HarakahDaily, ujar Pensyarah Ekonomi Politik Islam itu, ia berpotensi meneruskan agenda yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
“Kita faham jika sebuah organisasi banyak membuat perubahan kepimpinan, ia juga akan banyak berubah dari sudut perancangan, objektif dan gerak kerja yang akan dilakukan.
“Kita akan lihat perubahan yang akan dilakukan oleh pimpinan yang baru ini, dan dari sudut perkiraan menteri-menteri yang telah pun dilantik.
“Bagi saya, ia adalah sesuai dengan kuota daripada bilangan-bilangan menteri yang terdapat di dalam setiap parti komponen dalam kerajaan,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.
Menurutnya, terdapat beberapa pimpinan yang masih kekal dengan jawatan sama seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, beliau melihat tindakan Ismail Sabri mengekalkan segelintir portfolio sedemikian memberi gambaran kemungkinan kabinet baharu ini dirancang dalam masa singkat.
Seterusnya, bagi mengelakkan pertembuan portfolio selepas Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) selain untuk mengekalkan momentom kerajaan sebelum ini.
“Maka, (saya berpendapat) tidak berlaku ketidakselarasan di antara kepimpinan sebelum ini dan pimpinan yang baru ini lalu, kabinet ini dirancang untuk diteruskan,” ujarnya lagi.