KUALA LUMPUR | Barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.
“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya.
“Justeru, pembentukan kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.
“Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.
“Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.
Beliau berkata, dunia mencatatkan kemunculan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID-19.
“Oleh itu, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini. Kita perlu terus mengawal segala risiko COVID-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian,” katanya.