IPOH | Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai peranan penting bagi memperkukuh naratif ‘Keluarga Malaysia’ seperti dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau yakin dalam suasana cukup mencabar sekarang, dedikasi dan kesungguhan belia menjadi nadi penting untuk membolehkan rakyat bangkit semula.
Katanya beliau menyedari hasrat perdana menteri supaya barisan kabinet segera melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
“Saya meletakkan diri saya dalam keadaan bersedia dan akan patuh kepada arahan-arahan yang akan diberikan perdana menteri dari semasa ke semasa,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya hari ini.
Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan menggantikan Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang dipindahkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menurutnya juga beliau berbesar hati diberi peluang memberi khidmat kepada seluruh warga belia di Malaysia.
“Saya juga bersyukur dapat berperanan dalam meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan melonjakkan nama negara di persada dunia.
“Pengalaman panjang saya bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara,” ujarnya.
Beliau turut menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kepercayaan perdana menteri untuk membolehkan beliau memberi khidmat bakti melalui Kementerian Belia dan Sukan.