IPOH | Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak dinasihatkan untuk mengambil langkah berani seperti seperti mana yang dipamerkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata semuanya disaran untuk mempamerkan sikap kematangan berpolitik dengan meninggalkan yang memisahkan jurang antara kaum dan agama.
“Saya ingin mengajak semula Ahli-ahli Dewan, kita harus bersikap berani seperti mana Yang Amat Berhormat Kota Tampan (Saarani).
“Ayuh kali ini kita mencerminkan sikap kematangan politik dengan meninggalkan politik perkauman dan agama yang akan memisahkan jurang di antara kaum dan agama. Siapa yang rugi? Sudah tentulah kita dan juga rakyat Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini pada Khamis.
Pada Rabu ketika perasmian sidang berkenaan, Sultan Perak menyifatkan langkah Menteri Besar yang tidak mengenepikan ADUN pembangkang termasuk dijemput hadir dalam beberapa mesyuarat jawatankuasa sebagai langkah berani.memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.
Titah Baginda langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi langkah kecil itu jika terus disuburkan, akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya.
Sementara itu Hasnul yang juga ADUN Bebas berkata semua pihak disaran untuk turut membawa sikap yang baik semasa persidangan DUN ke luar khususnya apabila bertemu masyarakat.
“Titah Tuanku juga menyeru agar Ahli-ahli Dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan sama-sama memupuk semangat perpaduan, semangat kewarganegaraan antara rakyat yang berbilang kaum dan menganuti pelbagai agama dan juga mengamalkan pelbagai budaya serta menguasai pelbagai bahasa.
“Inilah yang dititahkan oleh Tuanku Sultan Perak, bagaimana kita hendak membawa sikap di dalam dewan dan ianya tidak ditinggalkan semata-mata dalam dewan ini supaya dapat dibawa keluar bertemu dengan ahli masyarakat, masyarakat sivil.
“Kita bertemu dengan ahli parti, kita bercakap soal kematangan politik, soal perpaduan antara kaum. Tinggalkan retorik perjuangan semata-mata kepentingan peribadi,” katanya lagi.
Dalam pada itu Hasnul berharap agar persidangan yang dijadualkan berakhir pada Isnin depan akan menjadi contoh kepada sebuah kematangan politik.
SUMBBER; SUARA PERAK