BANGKOK | Bekas ketua polis di Balai Nakhon Sawan yang menyeksa seorang lelaki dengan memasukkan kepalanya ke dalam beg plastik sehingga mati berhubung kesalahan berkaitan dadah akhirnya menyerah diri.
Lapor Agensi yang memetik BBC, Thitisan Utthanaphon, atau nama gelarannya ‘Jo Ferrari’ mengaku bersalah memberikan layanan buruk kepada mangsa.
Bagaimanapun, suspek menafikan tuduhan mengenai unsur rasuah terhadap dirinya.
Bekas anggota polis berusia 39 tahun itu diberi peluang membuat kenyataan kepada pihak media sejurus ditangkap.
Menerusi sidang akhbar yang dikendalikan oleh polis Thailand di Bangkok, suspek mendakwa kematian mangsa adalah satu ‘kemalangan’.
“Saya tidak berniat membunuh dia kerana hanya mahu mendapatkan maklumat supaya dapat membanteras urus niaga berkaitan dadah,” jelasnya.
Thitisan dan enam anggota polis di balai itu dituduh menyeksa lelaki itu dengan menggunakan lima beg plastik untuk melemaskan mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Tindakan itu didakwa dilakukan untuk memaksa mangsa menggandakan bayaran ikat jamin sehingga 44,000 pound (RM254,082).
Mangsa yang dikenali sebagai Jirapong Thanapat, 24, ditahan bersama teman wanitanya selepas mereka didakwa menjual dadah jenis methamphetamine di Nakhon Sawan di timur laut Thailand, 5 Ogos lalu.
Rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan dia diseksa oleh beberapa anggota polis di sebuah balai menjadi tular dalam media sosial.
Rakaman itu dipercayai didedahkan oleh seorang anggota polis junior.