KUALA LUMPUR | Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap penubuhan Suruhanjaya Kesihatan bakal menjadi agenda utama Khairy Jamaluddin selepas dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Lapor Berita Harian, Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam, berkata ini bagi membolehkan Malaysia segera keluar daripada kesan akibat penularan pandemik COVID-19.
Subramaniam juga berharap, pelbagai isu berbangkit, termasuk doktor kontrak dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 100 hari pelantikan Ahli Parlimen Rembau itu ke jawatan berkenaan.
Beliau juga mengalu-alukan pelantikan Khairy Jamaluddin, selain menyifatkan kewibawaan beliau sudah terbukti ketika menyandang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
“MMA menantikan idea segar, baharu dan inovatif dari Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pimpinan beliau, selain KKM muncul kementerian paling penting ketika ini kerana negara berjuang bagi mengatasi pandemik COVID-19.
“MMA juga berharap beliau mengiktiraf peranan penting penjagaan primer dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan keperluan kerjasama dan kolaborasi erat bagi sektor awam-swasta dalam pengurusan.
“MMA juga berharap mengadakan pertemuan bersama Khairy selain mengadakan libat urus berkala dengan KKM bagi membincangkan mengenai dasar kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, BH melaporkan, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba yang bekerjasama erat dalam PICK, kini bertukar portfolio di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau adalah antara 31 barisan Menteri termasuk beberapa muka baharu, antaranya Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Semua barisan Menteri baharu dilantik itu akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Shah Billah di Istana Negara, Isnin ini.