MYANMAR | Myanmar akan memberi vaksin COVID-19 kepada masyarakat minoriti Muslim Rohingya, kata seorang jurucakap tentera hari ini (27 Ogos).
Lapor Reuters, beliau berkata demikian sambil menekankan bahawa tiada golongan yang akan ketinggalan dalam kempen vaksinasi.
Ratusan ribu masyarakat Rohingya melarikan diri ke Bangladesh semasa operasi ketenteraan pada 2017 dan mereka yang tidak melarikan diri pula mengadu tentang berlakunya diskriminasi dan penganiayaan di negara yang tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.
Jurucakap Zaw Min Tun berkata pihak berkuasa menunjukkan kemajuan dalam mengurangkan jumlah jangkitan koronavirus dan meningkatkan kadar vaksinasi serta menyasarkan untuk menyuntik separuh penduduk negara itu menjelang hujung tahun ini.
Myanmar melaporkan 2,635 jangkitan baru COVID-19 dan 113 lagi kematian hari ini, meskipun jumlah harian kes dan kematian yang dilaporkan berkurangan daripada kes tertinggi dalam bulan Julai.
Vaksinasi itu akan ditawarkan kepada masyarakat Rohingya di daerah Maungdaw dan Buthidaung yang bersempadan dengan Bangladesh, katanya.
Beliau memanggil mereka “Bengali”, iaitu istilah yang digunakan selama beberapa dekad di Myanmar yang mana majoriti penduduknya penganut Buddha. Panggilan itu merujuk kepada masyarakat Rohingya, sebuah kumpulan yang dianggap ramai sebagai pendatang, yang tidak diinginkan, dari negara jiran Bangladesh.
“Mereka juga orang kita,” kata Zaw Min Tun semasa sidang media biasa. “Kami tidak akan membiarkan sesiapa pun ketinggalan.”
Tidak jelas sama ada kempen vaksinasi akan dilanjutkan kepada masyarakat Muslim Rohingya yang tinggal di kem yang sesak di wilayah Rakhine dan apakah syarat kelayakannya.
Isu ini sangat sensitif di Myanmar, di mana permusuhan terhadap Rohingya semakin mendalam. Kumpulan hak asasi antarabangsa menyatakan bahawa ratusan ribu orang Rohingya tanpa kerakyatan itu berhak mendapat kerakyatan dan bukannya didiskriminasi serta dianggap sebagai pendatang tanpa izin.
Seorang pentadbir yang dilantik junta awal bulan ini berkata tiada rancangan untuk menyertakan sekali masyarakat Rohingya di kem-kem berhampiran ibu negara wilayah Sittwe.