KUALA LUMPUR | Barisan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terdiri daripada gandingan muka lama dan baharu diharap dapat mengambil peluang menambah baik prestasi keseluruhan berbanding pentadbiran terdahulu.
Lapor Berita Harian, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata ini kerana pelantikan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri hari ini adalah amanah kepada semua pemimpin berkenaan untuk berkhidmat dalam era paling mencabar.
“Meskipun dalam kalangan barisan ini terdapat wakil yang turut berkhidmat sebelum ini, tidak bermaksud semuanya akan kekal sama. Perkara positif yang diwarisi boleh diperkukuh, yang negatif boleh diperbetul.
“Terpulang kepada Jemaah Menteri sama ada mengambil peluang itu atau tidak. Tidak salah kiranya andai kita beri sedikit masa sebelum mengadili baik buruknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Shahril Sufian yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, sebagai ahli UMNO dan rakyat Malaysia, beliau mengharapkan kerajaan dapat mengambil peluang kerana sekarang bukan masa untuk berbalah, mengadu domba atau berspekulasi ketika melihat situasi rakyat hari ini.
Sebaliknya beliau menegaskan, ini adalah masa untuk bekerja, melaksanakan perkara yang boleh mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.
“Dengan asas kestabilan politik, dipimpin oleh Perdana Menteri baharu, diharapkan barisan Jemaah Menteri ini akan mampu merangka dan melaksana dasar yang lebih baik sesuai dengan keperluan semasa mengurus COVID-19 dan ekonomi rakyat yang kian tenat.
“Cadangan akan terus diberikan dari semasa ke semasa termasuk dari dalam parti sendiri, untuk pertimbangan kerajaan.
“Mustahaknya, apapun tanggapan awal, inilah ‘team’ yang dibariskan atas padang. Yang perlu tegur, kita tegur. Namun, selagi mereka tidak buat perkara salah, kita sokong, kita bantu, kita jayakan atas semangat berpasukan dan Keluarga Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan barisan Kabinetnya merangkumi 31 menteri dan 38 timbalan menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, minggu lalu.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.