IPOH | Perak muncul negeri kedua tertinggi menerima kedatangan pelancong domestik tahun lalu iaitu seramai 13.17 juta selepas Selangor berbanding tempat keempat pada tahun sebelumnya.
Lapor Utusan, Tourism Perak memaklumkan, pada 2019, Perak menerima pelawat domestik 21 juta pelancong namun jumlah itu menurun sebanyak 37.5 peratus atau 7.89 juta pelawat.
“Daripada jumlah itu, seramai 4.89 juta orang adalah pelancong domestik bermalam dan secara tidak langsung, Perak masih lagi menduduki tempat kedua tertinggi selepas Pahang.
“Jumlah keseluruhan pelancong domestik yang bermalam pada 2020 juga mencatat penurunan ketara sebanyak 51.7 peratus atau 5.23 juta pelancong berbanding 2019 iaitu 10.1 juta pelancong,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, tahun lalu Perak turut mencatat penurunan purata perbelanjaan perjalanan pelawat domestik sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada RM310 pada 2019 kepada RM275.
“Perhitungan perbelanjaan pelawat domestik di negeri ini pada tahun lalu dianggarkan bernilai RM3.8 bilion,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, berdasarkan Laporan Survei Pelancongan Domestik Jabatan Perangkaan tahun lalu, Perak masih menjadi pilihan pelancong domestik walaupun berdepan situasi sukar.
Menurutnya, Perak mesti mengambil peluang melalui kekuatan negeri sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan utama negara untuk memulih dan menjana ekonomi rakyat yang terlibat dalam sektor perkhidmatan tersebut.
“Perak kini berada pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan sektor pelancongan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya.
“Kerajaan negeri akan mengambil beberapa inisiatif strategik dan mengadakan kerjasama erat dengan pemain industri bagi menjayakan program vaksinasi untuk mengurangkan jurang bilangan pekerja industri yang belum divaksinasi bermula bulan depan,” katanya.