KUALA LUMPUR | Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul bapanya sehingga patah tulang rusuk kerana ditegur menconteng dinding rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, di sini, kelmarin.
Lapor Berita Harian, suspek berusia 26 tahun itu ditahan jam 9.20 malam selepas memukul bapanya berusia 68 tahun dalam kejadian kira-kira jam 3 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata siasatan awal mendapati dalam kejadian itu suspek yang juga penganggur tidak berpuas hati kerana ditegur menconteng dinding rumah menggunakan pen penanda, sebelum memarahi dan menendang mangsa pada rusuk kanan.
“Akibat pergaduhan itu mangsa cedera di badan dan leher. Mangsa kemudian pulang ke rumah isterinya di Seremban, Negeri Sembilan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
“Laporan perubatan mengesahkan mangsa patah satu tulang rusuk kanan. Laporan pemeriksaan awal kesihatan dimohon polis untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Basri berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menendang perut mangsa kerana mahu mempertahankan diri daripada dipukul.
“Suspek tiada rekod jenayah lalu dan negatif dadah hasil ujian saringan air kencing.
“Lelaki itu direman dua hari sehingga esok mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran.