KOTA BHARU | Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berharap seluruh anggota barisan Kabinet yang dilantik diberi kekuatan untuk menjalankan tugas.
Beliau berkata, semoga tugas yang diberi dijalankan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan beramanah demi Keluarga Malaysia
Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengumuman barisan jemaah Menteri dan Timbalan Menteri pada hari ini.
“Tahniah juga kepada semua anggota jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada seluruh anggota barisan Kabinet untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, integriti dan beramanah demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bulan kemerdekaan yang bermakna, Jumaat yang berkat.
“Tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri terutama dari Parti Islam Semalaysia (PAS) yang diumumkan pagi tadi.
“PAS kekal dengan tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri sebagaimana Kelantan juga kekal mempunyai sepuluh wakil dalam Kabinet yang baru,” katanya.