YAN | Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberi sumbangan kepada mangsa banjir dan kepala air di Yan, Kedah, semalam.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pelbagai barangan keperluan khusus seperti pakaian dan keperluan untuk wanita serta kanak-kanak dan seisi keluarga akan disampaikan.
Katanya, bukan sekadar serahan barangan keperluan, Srikandi juga akan berganding bahu untuk membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa yang terjejas.
“Alhamdulillah, saya telah menyempurnakan ‘flag off’ Srikandi BERSATU Malaysia yang mula bergerak ke Yan, Kedah bagi menyampaikan sumbangan serta membantu mangsa-mangsa bencana banjir di sana.
“Melalui Biro Kebajikan Srikandi BERSATU bersama wanita Perikatan Nasional (PN), barangan keperluan khusus seperti pakaian dan keperluan untuk wanita serta kanak-kanak dan seisi keluarga akan disampaikan,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, semoga bantuan itu dapat meringankan beban mangsa tragedi di sana.