ALOR SETAR | Anggota kabinet Kerajaan Persekutuan yang dilantik menepati kepakaran serta pengalaman masing-masing.
Lapor HarakahDaily, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ ini diyakini dapat bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran sebagaimana yang ditetapkan.
“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan ini.
“Semua menteri dan timbalan menteri pada hemat saya seimbang dan menepati kepakaran serta pengalaman masing-masing,” kata beliau susulan pengumuman senarai Kabinet oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pagi tadi.
Beliau mengharapkan agar barisan kabinet yang baharu itu dapat menjalankan amanah seperti dikehendaki walaupun situasi semasa adalah sukar dan sarat dengan cabaran.
“Keutamaan perlu diberikan untuk segera membawa negara keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak hampir dua tahun lalu,” tambahnya.
Justeru itu, katanya kerajaan negeri menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan Perdana Menteri dan semua anggota Jemaah Menteri untuk menangani masalah itu dengan cekap dan efisien.
Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan hubungan erat antara kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan (Putrajaya) dapat dimantapkan lagi dari masa ke masa.
“Tahniah dan selamat berkhidmat,” kata beliau lagi.