JELI | Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan untuk terus melaksanakan tugas sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Mustapa berkata, sesungguhnya ini adalah satu amanah besar untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menurutnya, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi di Dewan Rakyat akan menetapkan hala tuju ekonomi negara untuk jangka sederhana dan jangka panjang.
“Saya percaya kombinasi barisan Kabinet yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri mampu untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan efisien demi kesejahteraan rakyat serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada pandemik COVID-19.
“Pelan ini adalah kesinambungan kepada asas yang dibina oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Jeli itu berkata, barisan jemaah Menteri dan Timbalan Menteri akan berganding bahu untuk memastikan agenda budaya kerja prestasi tinggi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat dijayakan.
Journal Malaysia juga mengucapkan tahniah kepada menteri yang mesra dan lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa itu.
Semoga dapat meneruskan khidmat terbaik buat Keluarga Malaysia.