KUALA LUMPUR | Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai menteri kabinet hari ini.
Dalam pengumuman itu, tiada jawatan timbalan perdana menteri dalam barisan kabinet baharu itu dan turut mengekalkan konsep menteri kanan.
Menteri kanan yang diumumkan ialah, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kekal menjawat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dengan timbalannya Datuk Lim Ban Hong.
Menteri Kanan (Pertahanan) pula menyaksikan penampilan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang bertukar dari Kementerian Luar Negeri sebelum ini manakala timbalannya ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Selain itu, menteri kanan tidak berubah seperti Kabinet lalu iaitu Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Fadillah Yusof, masing-masing menyandang jawatan Menteri Kanan (Pendidikan) serta Menteri Kanan (Kerja Raya).