Keuntungan bersih Public Bank Bhd pada suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun, 2021 meningkat kepada RM1.38 bilion daripada RM1.0 bilion dicatatkan pada suku tahun sama tahun lepas.
Perolehan naik kepada RM4.92 bilion daripada RM4.74 bilion sebelum ini, menurut bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi prestasi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2021, keuntungan bersih bank itu meningkat kepada RM2.91 bilion daripada RM2.33 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2020 manakala perolehan merosot kepada RM9.95 bilion daripada RM10.25 bilion sebelum ini.
Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Tan Sri Teh Hong Piow berkata Public Bank Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.79 bilion dan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM2.91 bilion pada separuh pertama 2021.
Beliau berkata keuntungan kumpulan yang berterusan itu sebahagian besarnya disokong oleh perniagaan terasnya iaitu pinjaman dan pengambilan deposit serta didorong oleh pendapatan bukan faedah.
“Berdasarkan kesan asas yang rendah berbanding tahun lepas, dengan pemulihan ekonomi Malaysia sehingga 2021, kumpulan mencatatkan prestasi yang lebih baik pada separuh pertama 2021.
“Bagaimanapun, lonjakan kes Covid-19 dan penguatkuasaan langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat pada suku kedua 2021 terus menjejaskan prestasi perniagaan kumpulan,” katanya.
Teh berkata kumpulan mencatatkan momentum yang kukuh dalam kelulusan pinjaman, mencerminkan komitmennya yang kukuh untuk terus meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk pelanggan dengan dorongan tambahan termasuk insentif untuk pembelian kereta dan hartanah serta skim pembiayaan khas yang dilaksanakan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Usaha proaktif Public Bank dalam memberi bantuan kewangan, selain inisiatif kerajaan dan BNM untuk memulihkan ekonomi, telah membantu ramai pelanggan menambah baik kedudukan kewangan mereka secara berperingkat dan memberi manfaat kepada kira-kira 1.9 juta pelanggannya, setakat ini,” katanya.
Teh berkata berdasarkan persekitaran yang amat mencabar, kumpulan telah mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif dalam menyusun semula strategi perniagaannya dan terus memberi penekanan kepada pengurusan risiko yang berhemat dan meningkatkan produktiviti.
“Sebagai menghargai sokongan berterusan pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim yang pertama sebanyak 7.5 sen sesaham dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM1.46 bilion, mewakili 50 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan untuk setengah tahun berakhir 30 Jun, 2021, akan dibayar pada 23 Sept, 2021,” katanya.
Tarikh akhir ialah 13 Sept manakala tarikh kelayakan pada 14 Sept, 2021.
Mengenai prospek, katanya kumpulan akan terus berhati-hati terhadap ketidaktentuan yang ketara dalam perjalanan ke arah pemulihan.
“Kumpulan akan terus komited kepada kawalan kos yang berdisiplin dan pengurusan risiko yang berhemat untuk membina penampan yang mencukupi bagi menyerap kemungkinan kejutan daripada pandemik.
“Dengan jenama Public Bank yang kukuh, kualiti aset yang berdaya tahan dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk melangkah ke hadapan dengan pertumbuhan perniagaan yang berterusan dan memberikan komitmen kecemerlangan kepada semua pihak berkepentingannya,” katanya.
- Bernama