IPOH |Kerajaan sedang berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berhubung proses pemasangan kemudahan Wifi di masjid.
Lapor portal Suara Perak, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, pemasangan kemudahan itu bukan sahaja percuma untuk ahli kariah tetapi boleh menarik anak muda ke masjid.
“Kita hendak menarik seramai mungkin anak muda belia untuk ke masjid sebagai tanggungjawab mereka dan seterusnya mendapat peluang untuk menerima perkhidmatan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hasnul Zulkarnain Munaim (Bebas – Titi Serong) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan perkhidmatan percuma yang disediakan di masjid-masjid sebelum ini tidak akan disambung kerana kerajaan telah berusaha untuk menyediakan liputan perkhidmatan yang lebih baik di negeri ini.
“Wifi percuma itu (sebelum ini) bersifat sementara dan dibuat ketika itu tanpa perancangan sepenuhnya.
“Jadi dengan keadaan sekarang, kita merancang untuk semua premis di kawasan negeri Perak, khususnya di bawah program JENDELA akan kita laksanakan sebaik mungkin,” ujarnya.
Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan pada 29 Ogos tahun lalu adalah satu inisiatif yang dipacu oleh pemain industri dengan kerjasama Kerajaan bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara.