WASHINGTON: China, yang sedang rancak membangunkan keupayaan senjata nuklear, bakal berada di depan Rusia sebagai ancaman nuklear utama kepada Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu ditegaskan seorang pegawai kanan tentera AS seperti dilaporkan Reuters.
Leftenan Jeneral Tentera Udara AS, Thomas Bussiere yang mengawasi senjata nuklear negara berkata, pembangunan senjata nuklear China ‘tidak lagi selari’ dengan dakwaan umum bahawa negara itu mahu mengekalkan pertahanan nuklear yang minimum.
“Akan tiba satu tahap, di mana ancaman dari China akan melebihi jumlah ancaman dari Rusia pada masa ini,” katanya melalui satu forum dalam talian.
Beliau berkata, perkara itu tidak berdasarkan pada jumlah senjata nuklear yang dimiliki Beijing, tetapi juga bagaimana mereka ‘beroperasi’.
“Kami percaya ia akan terjadi dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Tambah beliau, tidak seperti dengan Rusia, Amerika Syarikat tidak mempunyai perjanjian atau mekanisme dialog dengan China mengenai isu itu untuk ‘mengurangkan sebarang salah faham atau kekeliruan’.
Komen beliau itu dibuat ketika AS menyusun semula dasar luarnya untuk memberi penekanan yang lebih besar di wilayah Indo-Pasifik bagi mencegah kekuatan ekonomi dan ketenteraan China yang semakin meningkat.
Setiausaha Negara, Antony Blinken menyuarakan keprihatinan mendalam mengenai senjata nuklear China yang sedang berkembang semasa mesyuarat dengan menteri-menteri luar Asia dan negara rakan kongsi pada awal Ogos.
Laporan-laporan kumpulan pemikir berdasarkan imej satelit menyatakan China sedang membangunkan ratusan silo baru untuk peluru berpandu nuklear, dan Washington menuduh Beijing sebagai enggan mengadakan rundingan senjata nuklear.
China menegaskan simpanan senjatanya adalah kecil berbanding dengan yang dimiliki AS dan Rusia.
Pentagon menganggarkan stok senjata nuklear yang dimiliki China sekitar 200, dan menyatakan ia diramal akan meningkat.
SUMBER: AGENSI