WASHINGTON | Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menuduh China menahan ‘maklumat penting’ berhubung asal usul COVID-19.
Lapor AFP, beliau mendakwa sedemikian, semalam, selepas komuniti perisikan AS merumuskan bahawa COVID-19 bukan virus yang dibangunkan sebagai senjata biologi, namun masih berbeza pendapat sama ada virus itu terlepas daripada sebuah makmal.
Bagaimanapun menurut rumusan laporan perisikan yang ditunggu-tunggu itu, AS tidak percaya bahawa pegawai China mempunyai pengetahuan awal mengenai virus terbabit sebelum pandemik berkenaan tercetus.
“Maklumat penting mengenai asal usul pandemik ini ada di China.”Namun dari awal lagi, pegawai kerajaan di China berusaha menghalang penyiasat antarabangsa dan ahli komuniti kesihatan awam global daripada mengaksesnya.
“Hingga kini, China masih menahan maklumat dan menolak desakan untuk ketelusan, walaupun jumlah kematian akibat pandemik ini terus meningkat,” kata Biden dalam satu kenyataan.
Biden menegaskan, AS bersama sekutunya akan terus memberi tekanan ke atas Beijing supaya berkongsi lebih banyak maklumat serta bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kita mesti memperoleh maklumat penuh dan telus mengenai tragedi global ini,” katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan, semalam, Kedutaan China di Washington menyelar laporan komuniti perisikan AS yang membawa kepada dakwaan terbabit, sekali gus mempertahankan tindakan Beijing dalam menangani pandemik COVID-19 dan siasatan WHO.
“Laporan oleh komuniti perisikan AS menunjukkan AS menuju ke arah manipulasi politik yang salah.
“Laporan komuniti perisikan itu adalah berdasarkan andaian kesalahan pada China, dan ia hanya untuk menjadikan China sebagai kambing hitam,” katanya. –