Konsep ‘Keluarga Malaysia’ dalam imej dan pendekatan baharu kerajaan ditunggu-tunggu ramai pihak, terutama masyarakat bergelar marhaen yang mahu keakraban atas nama negara dapat dibentuk dalam kalangan ahli politik di tanah air.
Disebabkan perbalahan antara ahli politiklah, kerajaan baharu terpaksa dibentuk di negara ini sedangkan situasi pandemik COVID-19 semakin serius dan memerlukan fokus lebih menyeluruh.
Bukan rakyat tidak sedar Malaysia negara demokrasi yang pasti mempunyai kerajaan dan pembangkang. Namun, rakyat tidak faham apabila masih wujud sesetengah pihak terus bermain ‘kejar-kejar’ kuasa ketika ancaman pandemik belum diselesaikan.
Justeru, imej Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kena pada masa dan selera rakyat. Hakikatnya, yang harus ‘ditalkinkan’ untuk kembali ke aliran benar – berpadu tenaga demi negara – adalah masyarakat politik, bukan massa atau kebanyakan.
Andai tiada sebarang persefahaman dan nilai tinggi kekeluargaan, tidak mustahil akan wujud lagi usaha meruntuhkan kerajaan.
Rakyat sudah lama memberi isyarat bahawa keadaan semasa memaksa semua pihak berhenti berpolitik seketika.
Permintaan rakyat bukan banyak, hanya saling bekerjasama dalam satu saf supaya mampu menang melawan pandemik dan mengembalikan sektor ekonomi, terutama kewangan rakyat.
Begitu juga konsep ‘Bekerja Bersama Rakyat’ disebut Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya, ia cerminan kerajaan ini merakyat sehabis baik.
Tiada lagi pandangan elit dalam kerajaan, terutama dari segi pendekatan, idea dan dasar bakal dibentuk. Itulah hendaknya rakyat di bawah, membawa tafsiran daripada ucapan Perdana Menteri.
Lebih menarik, kerajaan sedia mengambil pendekatan lebih berlapang dada atau berjiwa besar. Perdana Menteri menyebut beliau akan meneruskan apa saja gerak kerja kerajaan terdahulu dalam memerangi COVID-19.
Perdana Menteri juga menghulurkan tangan kepada semua ahli politik pembangkang menyumbang kepada nusa dan bangsa melawan COVID-19.
Ini semua hasrat rakyat. Hasrat Pak Karim menjual roti canai di Dengkil, Mak Senah menjual apam balik di Senawang, Pak Yan menjalankan khidmat penghantaran hadiah hari jadi di Langkawi dan jutaan rakyat Malaysia.
Mereka tidak mahu ahli politik bermain retorik dan berpolitik 24 jam. Mereka mahu pemimpin menunjukkan teladan untuk diikuti.
Semoga Keluarga Malaysia benar-benar mampu wujud dan kita semua bagaikan pepatah, air dicincang takkan putus.
Sarfarizmal Md Saad,
Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air Malaysia