KUALA LUMPUR | PAS menyambut baik dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri dan pembentukan Jemaah Menteri yang baharu, bagi meneruskan usaha untuk menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memberikan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk menumpukan khidmat kepada rakyat, menjalankan tugas masing-masing, dengan budaya kerja berprestasi tinggi berorientasikan keberhasilan.
“PAS mengajak semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah negara secara bersama.
“Sekarang adalah masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik.
“Ia bukan masa untuk politiking yang tidak berkesudahan sehingga merencatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara secara menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Menteri dan Timbalan Menteri untuk meneruskan usaha menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.