KUALA LUMPUR | PAS yakin pelantikan yang telah diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibuat dengan begitu teliti dan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, ia juga mengambil kira nilai integriti dan kredibiliti kepimpinan yang akan menerajui negara.
PAS juga katanya, menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembentukan Menteri Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Namun, jangan kita leka kerana tugas berat sedang dipikul oleh kepimpinan negara. Usaha memulihkan negara daripada wabak COVID-19 terutamanya dari sudut kesihatan dan ekonomi perlu segera dilaksanakan.
“PAS akan terus memberi komitmen bagi membantu kerajaan menggerakkan agenda perpaduan dan pemulihan negara demi kemakmuran bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS katanya, turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri Kabinet daripada PAS yang telah diberi kepercayaan untuk menganggotai Kabinet Kerajaan Malaysia yang baharu.
“Semoga urusan pentadbiran kita semua dipandu oleh wahyu Allah dan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya.
Mereka terdiri daripada Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang kekal Menteri Alam Sekitar, Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Lima lagi Ahli Parlimen PAS yang dilantik sebagai timbalan menteri ialah Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ahmad Marzuk Shaary [Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)], Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).