PUTRAJAYA | Pemergian Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid satu kehilangan besar buat negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pemergian Allahyarham yang bagi saya adalah seorang negarawan, merupakan suatu kehilangan besar buat negara.
“Jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata , Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani.
“Selaku mantan Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam.
“Bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara,” katanya.
Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja, Allahyarham juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara.
“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia. Al-Fatihah,” katanya.