by Nor Shazleza Shahril
BATU PAHAT | Seorang lelaki maut, manakala isterinya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Jalan Batu Pahat – Pontian, Pekan Rengit, dekat sini, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Mohd Nor Abd Manan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 pagi.
“Ketika pemeriksaan, pemandu Nuh Hatabik Selamet Ansor, 42, sudah tidak sedarkan diri, manakala isterinya, Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera di muka.
“Pegawai kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kereta dan mendapati mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan lanjut,” katanya.