KUALA LUMPUR | “Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang saya kenali seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan facebook miliknya ketika menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.
Katanya, Tun Ahmad Sarji seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas.
“Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.
“Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya hari ini.
Muhyiddin juga menyifatkan Pemergian Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta mantan Ketua Setiausaha Negara merupakan satu kehilangan besar.
“Bukan sahaja buat ahli keluarga tetapi kepada negara secara keseluruhan menerusi jasa dan khidmat baktinya selama ini.
“Semasa menjadi Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Beliau memberi fokus kepada kepuasan hati pelanggan dan penambahbaikan kualiti secara berterusan, sekaligus menjadikan perkhidmatan awam negara sebagai antara yang terbaik,” katanya.
Muhyiddin yang mengucapkan salam takziah juga meminta mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin Ya Rabbal Alamin.
“Saya dan keluarga berkongsi rasa sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai pemergian tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani, YABhg Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia pagi tadi,” katanya.