KUALA KURAU | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kurau berjaya merampas 41 set bubu naga kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Tanjung Piandang, di sini semalam.
Lapor portal Suara Perak, Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata hasil aduan orang awam, bot Benteng 3 yang sedang melakukan rondaan telah diatur gerak ke lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, anggota telah mengesan beberapa pelampunh berada di permukaan air dan disyaki penanda kepala bubu naga.
“41 set bubu naga ditemui dan dirampas, dianggarkan bernilai RM4,920 dengan nilai setiap unit RM120.
“Seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pad awal Ogos tahun ini, sebanyak 35 set bubu naga telah dirampas di perairan Tanjung Piandang, Pulau Terung dan Kuala Terung.
Ia menjadikan jumlah rampasan pada bulan ini sebanyak 76 set bubu naga dengan anggaran nilai berjumlah RM9,120.
Katanya lagi, menggunakan bubu naga sebagai peralatab menangkap hasil laut adalah satu kesalahan dan boleh disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Nelayan juga diingatkan untuk mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut. Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.