KUALA LUMPUR | Adakah Perak FC bakal mendapat ‘talian hayat’ dan diselamatkan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan?
Lapor Berita Harian, itu persoalan yang sedang berlegar dalam kalangan penyokong bola sepak khususnya, selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan betapa skuad The Bos Gaurus berkemungkinan akan terus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.
Menerusi video yang tular di laman media sosial, Faizal mendakwa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang mempertimbangkan untuk membuka saingan Liga Super kepada 16 pasukan pada musim depan berbanding 12 pasukan ketika ini.
Namun, Faizal menegaskan segala-galanya terpulang kepada ketetapan yang akan dibuat oleh MFL selaku badan pengendali liga sama ada mahu melaksanakan cadangan itu yang mana akan menyelamatkan Perak FC ataupun perlu akur dengan penyingkiran pasukan itu ke divisyen dua.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak ada kuasa nak buat apa-apa, tapi itu terpulang kepada MFL, tapi kita kawan baik dengan MFL. Saya dengan CEO baru MFL Stuart (Ramalingam) ini pun kawan baik, dengan Datuk Hamidin (Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia) pun saya boleh cakapkan.
“Baru-baru ini kita ada bincang Datuk Hamidin dan Stuart ada pandangan nak naikkan kepada 16 pasukan sebab ini selari dengan apa yang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tetapkan. Selama ini kita tak ikut FIFA dan mungkin dia orang terpaksa buat begitu.
“Kalau itu berlaku, selamatlah negeri Perak. Kalau tak berlaku, kita sakit kepala sikitlah sebab tak pernah berlaku lagi.
“Dan masalahnya, Perak FC II akan turun lagi (dari Liga Perdana ke Liga M3), dah tak boleh berada dalam satu liga. Jadi kita doakanlah, Insya-Allah saya akan cakapkan dengan Datuk Hamidin dan Stuart,” katanya.
Ketika ini, harapan Perak FC untuk kekal di Liga Super tampak samar selepas menghuni tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya 13 mata daripada 20 perlawanan yang diharungi setakat ini.
Malah, bukan setakat perlu menang baki dua aksi tetapi nasib mereka juga bergantung kepada beberapa pasukan di atas mereka memandangkan mereka perlu mengharapkan pencabar mereka itu turut keciciran mata.