KUALA LUMPUR | Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi rekod ‘Penyertaan Terbesar Bagi Persembahan Lagu Secara Maya’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
Memetik Bernama, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata rekod itu disahkan MBOR ketika sesi nyanyian beramai-ramai lagu ‘Tanggal 31 Ogos’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad secara serentak pada 20 Ogos lalu membabitkan 3,126 warga kerja di ibu pejabat dan semua pejabat wilayah di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Di sebalik kekangan dihadapi sepanjang tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), Air Selangor berjaya melaksanakan acara sambutan ini menerusi platform dalam talian.
“Ia diadakan dengan matlamat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja Air Selangor, selain terus mendukung semangat #kitajagakita sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Elina berkata, dengan tema Malaysia Prihatin, Air Selangor turut mengagihkan 150 bekalan makanan asas ‘Box of Hope’ kepada komuniti memerlukan di sekitar Semenyih, Kajang dan Sungai Ramal pada 24 Ogos lalu.