KUALA LUMPUR | BERSATU menyatakan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Datuk Seri Lajim Ukin ke pangkuan Ilahi hari ini.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Allahyarham adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang sangat dihormati kerana dedikasi tinggi serta pengalaman luas Allahyarham dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“Selain pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pengangkutan, Allahyarham juga adalah merupakan Pengerusi Amanah Ikhtihar Malaysia (AIM) serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Klias dan Ahli Parlimen Beaufort.
“Justeru, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara dan BERSATU, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli MPT dan Badan Pimpinan Negeri Sabah.
Lajim Ukin yang dirawat akibat jangkitan Covid-19, sejak kira-kira dua minggu lalu, meninggal dunia pagi ini.
Beliau, dilaporkan meninggal dunia pada 6.23 pagi tadi di Hospital KPJ, di sini.
Pemergian bekas Ahli Parlimen Beaufort itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong.