MILAN | Juventus dikejutkan 1-0 oleh Empoli yang kembali menyertai Serie A – perlawanan pertama Juve selepas Cristiano Ronaldo kembali bersama Manchester United.
Lapor AFP, gergasi Turin itu sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan dari Tuscan berkenaan, tetapi gol pertama Leonardo Mancuso di liga tertinggi Itali memastikan kemenangan Empoli di Stadium Allianz.
Pengendali Juve Massimiliano Allegri jelas kehilangan sentuhan tajam Ronaldo di depan gawang – yang mendahului senarai penjaring Serie A musim lalu dan meledak lebih 100 gol sepanjang tiga musim di Itali.
Di Rome, Lazio membelasah Spezia 6-1 dengan Ciro Immobile meledak hatrik untuk skuad kendalian Maurizio Sarri.Immobile meledak gol pertamanya hanya beberapa saat selepas Daniele Verde meletakkan Spezia di depan pada minit keempat, dan menambah jaringan 10 minit kemudian dengan rembatan dari luar kotak penalti.
Pemain 31 tahun gagal menyempurnakan penalti di masa kecederaan babak pertama tetapi melengkapkan hatriknya hasil sepakan sudut selepas itu.
Walaupun berjaya meledak hatrik, kegagalan menyempurnakan penalti tetap menghantui Immobile.
“Saya terlepas empat penalti musim lalu dan saya tidak mahu ia bermula begitu tahun ini.
“Saya mengubah fikiran untuk menyepak bola ke arah mana pada saat akhir dan ia ternyata tidak berhasil. Jujurnya, gagal menjaringkan penalti amat mengganggu saya,” kata Immobile.
Felipe Anderson, Elseid Hysaj dan Luis Alberto turut menemui sasaran untuk Lazio.