ALOR SETAR | Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) telah mencapai persetujuan bersama Rozaimi Abdul Rahman untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Dalam satu kenyataan, KDA FC berkata, penamatan itu dibuat selepas lapan bulan Rozaimi bersama pasukan Liga Super tersebut.
Katanya, ia adalah jalan terakhir yang terpaksa dibuat selepas Rozaimi mahukan perkara tersebut.
“Penamatan kontrak ini adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi tempoh dua bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadi sebelum memutuskan haluan kerjaya bolasepaknya.
“Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih dibahagian serangan,” katanya kenyataan itu.
Rozaimi sebelum ini diikat KDA FC selama satu musim bagi mengisi jentera serangan pasukan setelah berkelana di JDT II selama empat tahun.
Sepanjang berkhidmat bersama KDA FC pada musim 2021, beliau membuat sembilan penampilan, 264 minit aksi dan satu hantaran menghasilkan gol bersama skuad hijaukuning.
“Penampilan terakhir Rozaimi adalah ketika membantu KDA FC menang ke atas Melaka United FC pada 30 April lalu.
“Terima kasih dan selamat maju jaya dalam kerjaya bolasepak di masa hadapan,” katanya.