KOTA BHARU | Masjid di Kelantan dijangka akan dibuka kepada jemaah dalam masa dua minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pembukaan masjid akan dibuat jika kes turun dengan banyak, kadar vaksinasi meningkat dan fasiliti kesihatan semakin baik.
Katanya, ini berikutan ramai yang tanya menerusi aplikasi whatsApp dan sebagainya, bila hendak buka masjid. Ada juga yang marah.
“Kita jangka jika angka vaksinasi meningkat dengan banyak dan Insya-Allah kita juga jangka kes akan turun dalam sehari dua ini. Jika ini berlaku, kita akan buka masjid.
“Begitu juga, Kebawah Duli Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga menjangka tidak lama (pembukaan masjid),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Sekolah Menengah Arab (U) Istiqamah Badang di sini, hari ini. Menerusi program selama lima hari yang bermula hari ini, dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 individu yang akan divaksinasi.
Mengulas lanjut Dr Izani berkata, maknannya kalau kes negeri ini turun dan mencapai nilai ambang dengan baik, maka masjid akan dibuka.
“Tiada sebab Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak bagi kita buka masjid,” katanya.