KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum laporan berita berkenaan dua warga Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Taliban di Afghanistan ekoran penglibatan mereka sebagai pejuang militan Negara Islam (IS).
Ketua Polis Negara Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS di Afghanistan.
Katanya, bagaimanapun, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat laporan dan dakwaan berkenaan.
“Siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilaporkan itu membabitkan pejuang IS warganegara Malaysia yang sudah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Taliban menahan enam individu termasuk dua warga Malaysia yang dikaitkan sebagai pejuang IS dalam pertempuran bersenjata di Kabul, Afghanistan, Khamis lalu.