KUALA LUMPUR | Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Itulah realiti sikap pembangkang hari ini yang tidak mengotakan janji mereka dan berterusan mengkritik barisan kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Exco Pemuda Perikatan Nasional, Sayed Amir Muzzakkir Al Aydrus berkata, Rabu lalu pembangkang yang di wakili pimpinan Pakatan Harapan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Pertemuan itu katanya, bagi menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara dan cari titik kebersamaan.
“Hadir dalam pertemuan itu adalah Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), YB Tuan Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), YB Tuan Lim Guan Eng.
“Keempat-empat pemimpin itu dalam satu kenyataan bersama berikrar untuk bekerjasama dengan kerajaan dan mencari titik persamaan dalam usaha meredakan suhu politik negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah, Anwar semasa dalam pertemuan dengan media menyatakan tang beliau tidak akan mempersulitkan tugas Perdana Menteri jika kerajaan baharu menjalankan program pro rakyat dan menangani COVID-19 dengan berkesan.
Ironinya, tidak sampai dua hari menandatangi persefahaman tersebut, mereka telah mengkritik Perdana Menteri dengan tuduhan dan menamakan anggota kabinet yang di lantik sebagai “Kabinet Recycle”, Kabinet Gagal 2.0 dan pelbagai lagi tuduhan dan kecaman, ibarat pepatah
“rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”.
Tegurnya, kepada pihak pembangkang, mohon kotakan janji jika benar-benar ikhlas ingin bersama membantu kerajaan pimpinan Ismail Sabri menyelamatkan negara dari krisis Covid19.
Katanya, lantikan anggota kabinet adalah bidang kuasa prerogatif Perdana Menteri dan di lantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Mohon hormati dan beri peluang kepada pasukan yang baru di lantik ini bagi membuktikan kemampuan mereka.
“Musuh kita bersama adalah COVID-19, bukan sesama kita. Teguh Kita, Menang Bersama,” katanya.