KOTA BHARU | Semua peniaga dan majikan di Kelantan digesa mendaftar nama untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peniaga, pekedai, penjaja dan sebagainya yang mempunyai kontak dengan orang ramai diseru mendaftar nama untuk mendapatkan vaksin dengan secepat mungkin.
“Semua majikan, kita gesa mereka mengambil cakna dengan menghantar nama pekerja untuk divaksinasi.
“Majikan kena bertanggungjawab beri nama pekerja termasuk ke program vaksinasi yang dianjurkan.
“Kita juga mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil senarai nama peniaga untuk divaksinasi bagi membantu Kelantan mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Sekolah Menengah Arab (U) Istiqamah Badang di sini, hari ini.
Menerusi program selama lima hari yang bermula hari ini, dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 individu yang akan divaksinasi.