BACHOK | Dewan Ulamak PAS Kelantan menolak tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pentadbiran kitar semula.
Ketuanya, Dato’ Hassan Mohamood berkata, rakyat menaruh harapan besar kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah negara termasuk penularan Covid-19, kelembapan ekonomi serta kestabilan politik.
“Tidak betul dakwaan itu, kabinet kitar semula, sebab dia merupakan gandingan antara muka lama dan muka baru selain mengekalkan profesional dan integriti kerajaan sebelum ini diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Inilah yang memberi kekuatan kepada kepimpinan Ismail Sabri, dengan harapan masalah dihadapi rakyat iaitu pandemik, ekonomi dan sebagainya diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas Program Semarak Dakwah Merdeka anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Budi hari ini.
Turut serta hadir Pengarah Yadim Kelantan Ustaz Mahadi Awang dan Penolong Pengarah Kanan Unit Syakhsiah dan Kepimpinan Urusetia Belia dan Sukan (U-BES), Ustaz Mohd Hafiz Mahmud.
Bau-baru ini Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor melabelkan saf kabinet Ismail Sabri sebagai kabinet ‘kitar semula’ memandangkan mengekalkan sebahagian besar muka lama.
Hassan yang juga Yang Dipertua PAS Bachok berkata, pertemuan Perdana Menteri bersama pembangkang baru-baru ini antara lain bertujuan menyatukan semua pihak supaya fokus terhadap usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.
Menurutnya, kerajaan mewujudkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dengan penyertaan pembangkang sebagai jalan keluar daripada kemelut yang dihadapi sekarang. – HARAKAHDAILY 29/8/2021