KOTA BHARU | Peningkatan kes COVID-19 menyebabkan semua kawasan di Kelantan berada dalam zon merah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, keseluruhan komuniti di negeri ini ada kes COVID-19.
Katanya, tiga daerah yang mencatatkan kes yang tinggi adalah Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat.
“Kenaikan kes COVID-19 itu berikutan kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk.
“Misalnya dalam kalangan peniaga dan masyarakat di negeri ini, kita dapati mereka ada yang tidak memakai pelitup muka dan meletakkan pelitup muka di bawah dagu.
“Ini juga adalah punca dan menyumbang kepada penularan Covid-19 hingga menyebabkan kes naik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Sekolah Menengah Arab (U) Istiqamah Badang di sini, hari ini.
Program selama lima hari yang bermula hari ini, dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 individu yang akan divaksinasi.