IPOH | Sehingga hari ini seramai 1,352 guru sekolah rendah dan menengah daripada jumlah 37,590 guru di seluruh Perak masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud berkata ini kerana kesemua mereka masih berdaftar dan ada juga yang masih menunggu panggilan untuk divaksin.
Katanya bagi kategori guru Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Vokasional, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 pula, seramai 258 orang guru masih belum divaksin juga disebabkan hal sama.
Katanya kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan terus menggandakan usaha bagi memastikan semua guru berkenaan akan menerima suntikan vaksin COVID-19.
Malah ujar beliau program-program sesi kaunseling, webinar dan bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin akan dianjurkan sekiranya perlu bagi mencapai tujuan berkenaan.
“Setakat ini seramai 36,238 guru sekolah rendah dan menengah telah pun divaksin. Bagi kumpulan guru STAM, Vokasional, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 pula, daripada 9,684 guru, seramai 9,426 orang guru telah divaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pergulungan Perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Isnin.
Selain itu katanya menjelang pembukaan sesi persekolahan pada Oktober nanti, semua pihak yang mengelola urusan operasi persekolahan di negeri ini juga divaksin.
Setakat ini seramai 16,334 individu daripada 19,615 telah divaksin yang mana ia membabitkan anggota kumpulan pelaksana, perkhidmatan kawalan keselamatan, perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan, perkhidmatan bekalan makanan bermasak, operator bas atau van serta pekerja kantin.
SUMBER: SUARA PERAK