KOTA BHARU | Sebanyak 30 bot nelayan di Pantai Sabak menghias bot mereka dengan lebih 1,000 Jalur Gemilang sempena sambutan Kemerdekaan Negara yang ke-64.
Mereka menghias bot masing-masing sejak seminggu lalu bagi menunjukkan semangat cintakan negara dan untuk menyertai pertandingan Kibar Jalur Gemilang yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan
Seorang nelayan, Ramli Mat, 39, yang mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu berkata, dia memperuntukkan lebih RM100 untuk membeli Jalur Gemilang di samping sumbangan bendera daripada LKIM.
Katanya, dia mengambil masa selama empat jam untuk menghias botnya yang dibuat bersama tiga awak-awak.
“Kami lakukan ini bagi menunjukkan semangat cintakan negara yang mencapai kemerdekaan sejak 64 tahun yang lalu.
“Pada masa yang sama, ia juga dapat memupuk semangat patriotik dalam diri saya dan rakan-rakan yang lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bapa kepada enam anak itu berkata, dia menghias botnya dengan lebih 100 Jalur Gemilang.
Pemenang tempat kedua, Che Zakaria Abdul Ghani, 40, yang juga pesara tentera berkata, pertandingan itu juga dapat merapatkan tali silaturahim sesama nelayan.
“Walaupun, negara dan dunia berdepan dengan Covid-19, namun ianya tidak menghalang kami untuk menunjukkan semangat cintakan negara dengan menghias bot sejak seminggu lalu.
“Kami tetap patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.